DOKUMEN: DTMK-01-00-00

 

 

 

 

Majlis Teknologi Maklumat

Universiti Sains Malaysia

 

 

Dasar Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Elektronik

 

Deraf 4: Ogos 2000


Seksyen 1: Pengenalan

 

Majlis Teknologi Maklumat (MTM) Universiti Sains Malaysia telah ditubuhkan pada November 1996 dan dipengerusikan oleh Naib Canselor. MTM berfungsi sebagai satu badan perancang untuk pembangunan dan penggunaan teknologi maklumat di USM. Dokumen “Dasar Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Elektronik” ini merupakan salah satu daripada dokumen yang disediakan oleh MTM.

 

Dokumen ini disediakan sebagai satu panduan tentang dasar dan peraturan penggunaan kemudahan teknologi maklumat yang disediakan di USM. Dokumen ini akan dipinda dan diubahsuai dari masa ke semasa mengikut perkembangan dan keadaan semasa. Dokumen terkini boleh didapati di laman web

 

http://www.itc.usm.my/dasar/

 

Tujuan utama dokumen ini disediakan adalah untuk mewujudkan satu suasana komunikasi secara elektronik yang kondusif bagi membantu mempertingkatkan penggunaan IT yang berkesan dan membantu di dalam semua urusan universiti samada untuk pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan juga pentadbiran.

 

Dasar dan peraturan yang disediakan di dalam dokumen ini meliputi penggunaan semua kemudahan teknologi maklumat seperti USMNet, rangkaian, akses ke Internet,  peralatan dan perisian IT, makmal komputer dan sebagainya. Dokumen ini tidak menyentuh tentang penggunaan kemudahan talipon kecuali apabila ia digunakan sebagai rangkaian data.

 

Dasar dan peraturan yang disediakan ini adalah berdasarkan kepada prinsip kejujuran, akauntabiliti, integriti akademik, hormat kepada orang lain, dan hormat kepada hak dan maruah orang lain.

 

Memandangkan IT adalah satu bidang yang sangat dinamik dan secara relatifnya penggunaan yang meluas di USM adalah satu perkara yang baru, perubahan dasar dan peraturan akan dibuat dari masa ke semasa.

 

Seksyen 2: Peraturan Am

 

2.1  Objektif

 

Dasar dan peraturan yang dinyatakan di dalam dokumen ini disediakan dengan obejktif berikut:

 

·         Menyediakan dasar dan panduan penggunaan teknologi maklumat untuk semua pengguna

·         Mewujudkan suasana komunikasi elektronik yang kondusif untuk membantu meningkatkan kecekapan aktiviti universiti

·         Menggalakkan penggunaan teknologi maklumat dalam semua urusan universiti

·         Memastikan semua penggunaan teknologi maklumat adalah secara bertanggungjawab dan beretika selaras dengan peraturan Universiti

 

2.2  Skop

 

Skop dasar dan peraturan ini adalah seperti berikut:

 

·         Penggunaan semua infrastruktur, peralatan, perisian, perkhidmatan dan sebarang kemudahan teknologi maklumat yang ada dan yang digunakan di USM, sama ada kepunyaan USM ataupun tidak, melainkan kemudahan talipon

 

·         Dasar dan peraturan ini juga berkuatkuasa jika peralatan, perisian, perkhidmatan dan sebarang kemudahan teknologi maklumat kepunyaan USM digunakan diluar dari kawasan kampus

 

·         Menyediakan satu garis panduan untuk memantau penggunaan IT di USM

 

2.3  Takrifan

 

·         PENGGUNA:  Staf dan pelajar USM, atau sesiapa yang diberikan kebenaran oleh universiti

·         PENTADBIR SISTEM/STAF OPERASI:  Seseorang yang diamanah dan ditugaskan untuk mengendalikan sesuatu pelayan komputer atau peralatan teknologi maklumat. Sebagai pentadbir sistem atau staf operasi, beliau mempunyai “root authority” bagi pelayan komputer dan peralatan teknologi maklumat yang dikendalikannya.

·         USMNET: Satu rangkaian komputer milik Universiti Sains Malaysia yang meliputi tulang belakang rangkaian kampus, rangkaian komputer setempat (Local Area Network) dan rangkaian komputer yang menghubungkan kampus induk , kampus kejuruteraan dan kampus kesihatan.

·         RANGKAIAN KOMPUTER: saling sambungan talian komunikasi dan litar dengan suatu komputer atau suatu kompleks terdiri daripada dua atau lebih komputer atau peralatan teknologi maklumat yang tersaling sambung, samada menggunakan media fizikal atau tanpa dawai

·         PERALATAN TEKNOLOGI MAKLUMAT: termasuklah komputer, pencetak, pengimbas, peralatan untuk rangkaian seperti modem, hub, router dan sebagainya

·         KOMPUTER: suatu peranti elektronik, magnet, optik, elektrokimia, atau peranti pemprosesan data yang lain, atau sekumpulan peranti tersaling sambung atau yang berkaitan, yang melaksanakan fungsi logik, aritmetik, storan dan paparan, dan termasuklah apa-apa kemudahan storan data atau kemudahan komunikasi yang berkaitan secara langsung dengan atau dikendali bersama dengan suatu peranti atau sekumpulan peranti tersaling sambung atau yang berkaitan, tetapi tidak termasuk suatu mesin taip atau mesin pengatur huruf berautomat, atau suatu mesin hitung pegang-tangan mudah alih atau peranti seumpama yang lain yang tak boleh diaturcara atau yang tidak mengandungi apa-apa kemudahan storan data

·         PELAYAN KOMPUTER: sebarang komputer yang menawarkan perkhidmatan melalui rangkaian komputer, termasuklah mel-elektronik, laman web, ftp, telnet, audio, video, fail, pencetak, pengesahan, Internet phone, Internet Relay Chat, pangkalan data, Domain Name System, proxy, dan sebagainya.

·         DATA KOMPUTER: representasi maklumat atau konsep yang disediakan atau telah disediakan dalam bentuk yang sesuai bagi kegunaan dalam suatu komputer

·         OUTPUT KOMPUTER: suatu penyataan atau representasi sama ada berbentuk tulisan, tercetak, bergambar, filem, grafik, akustik atau bentuk lain-

1.       dihasilkan oleh suatu komputer;

2.       dipapar di skrin suatu komputer; atau

3.       diterjemah dengan tepat daripada suatu penyataan atau representasi yang dihasilkan itu

·         ATUR CARA/PERISIAN: data yang merupakan suruhan atau penyataan, apabila dilakukan dalam suatu komputer, menyebabkan komputer itu melaksanakan suatu fungsi

·         FUNGSI: termasuklah logik, kawalan, aritmetik, hapusan, storan dan dapatan semula dan komunikasi atau telekomunikasi kepada, daripada atau dalam sesuatu komputer

·         CAPAIAN:  Bagi maksud dokumen ini,seseorang itu mendapat capaian kepada mana-mana aturcara atau data yang disimpan dalam komputer apabila beliau menyebabkan komputer tersebut melaksanakan sebarang fungsi untuk:

(a) mengubah, menambah atau memadamkan atur cara/perisian atau data;
(b) menyalin atau mengalihnya ke mana-mana bahantara storan selain dari di mana ia disimpan atau ke tempat lain dalam bahantara storan di mana ia disimpan;
(c)menggunakannya; atau

(d) menyebabkan data dioutput daripada komputer di mana ia disimpan. Sebarang rujukan terhadap capaian atau niat untuk mendapat capaian kepada atur cara atau data akan ditafsirkan sewajarnya.

 

CAPAIAN TANPA KUASA:  capaian dalam apa-apa bentuk oleh mana-mana orang kepada apa-apa atur cara atau data yang disimpan dalam komputer adalah tanpa kuasa jika-

(a)     dia sendiri tidak berhak untuk mendapat capaian kepada atur cara atau data dalam apa-apa bentuk atau cara.

(b) dia tidak mempunyai keizinan untuk mencapai atur cara atau data tersebut daripada mana-mana individu yang berhak.

 

2.4  Pihak Bertanggungjawab

 

·         Jawatankuasa Penguatkuasaan IT

 

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pembangunan dengan keahlian seperti berikut:

 

o        Pengerusi: Timbalan Naib Canselor R & D

o        Naib Pengerusi yang dilantik oleh Pengerusi

o        Sekurang-kurangnya dua orang pegawai penyiasat teknikal yang dilantik oleh Pengerusi berdasarkan aduan

o        Wakil Jawatankuasa kecil Penguatkuasaan IT kampus kejuruteraan

o        Wakil Jawatankuasa kecil Penguatkuasaan IT kampus kesihatan

o        Pengarah Jabatan Keselamatan USM atau wakil beliau akan menganggotai jawatankuasa ini mengikut keperluan seperti untuk tujuan penggeledahan, penyitaan dan penangkapan.

o        Setiausaha (Pengarah Pusat Komputer)

 

Jawatankuasa Kecil Penguatkuasaan IT kampus kejuruteraan dan kampus kesihatan:

·         Pengarah kampus

·         Setiausaha (Ketua Unit Komputer)

·         Sekurang-kurangnya dua orang pegawai penyiasat teknikal yang dilantik oleh Pengerusi Jawatankuasa Kecil

·         Ketua Keselamatan atau wakil

 

Fungsi Jawantankuasa Penguatkuasaan IT ini adalah seperti berikut:

 

o        Menyediakan mekanisma meja aduan

o        Menjalankan siasatan untuk penyalahgunaan IT oleh pengguna

o        Menyediakan laporan dan perakuan kepada Majlis IT

o        Membuat laporan kepada pihak berwajib dengan perakuan Naib Canselor

o        Bekerjasama dengan pihak Jabatan Keselamatan mengikut keperluan

 

Jawatankuasa Kecil Penguatkuasaan IT kampus kejuruteraan dan kampus kesihatan bertanggungjawab untuk melaksanakan fungsi Jawatankuasa Penguatkuasaan IT di kampus kejuruteraan dan kampus kesihatan dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Penguatkuasaan IT dari masa ke semasa.

 

·         Majlis Teknologi Maklumat

o        Meneliti laporan dari J/K Penguatkuasaan IT

o        Membuat inkuiri dan keputusan tentang penarikan balik keistimewaan

o        Memajukan dakwaan dan perakuan kepada J/K Tatatertib Staf atau Timbalan Naib Canselor HEP untuk tindakan selain daripada penarikan balik keistimewaan

 

·         Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar

o        Tindakan disiplin kepada pelajar dengan nasihat Majlis IT

 

·         Jawatankuasa Tatatertib Staf

o        Tindakan disiplin kepada staf dengan nasihat Majlis IT

 

 

2.5  Pelanggaran dasar dan peraturan

 

Kemudahan-kemudahan IT yang disediakan oleh USM merupakan keistimewaan dan bukannya hak yang diberikan kepada pengguna. Sebarang pelanggaran dasar dan peraturan oleh pengguna akan dikenakan tindakan. Tindakan yang boleh dikenakan adalah berdasarkan kepada jenis pelanggaran dan keadaan semasa ia dilakukan.

 

Aduan tentang pelanggaran dasar dan peraturan boleh dibuat kepada Jawatankuasa Penguatkuasaan IT.  Pengerusi Jawatankuasa ini akan melantik sekurang-kurangnya dua orang penyiasat teknikal untuk meneliti laporan dan menjalankan siasatan. Jawatankuasa ini boleh menghubungi pihak berwajib seperti Polis, setelah diperakukan oleh Naib Canselor, bagi menjalankan siasatan sekiranya perlu. Jawatankuasa ini boleh membuat keputusan samada siasatan terperinci perlu dilaksanakan.

 

Tindakan atau penalti yang boleh dikenakan oleh Majlis Teknologi Maklumat adalah penggantungan keistimewaan penggunaan. Tindakan selain daripada penggantungan keistimewaan boleh diambil oleh Jawatankuasa Tatatertib Staf untuk staf, atau Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar untuk pelajar dengan merujuk kepada Majlis Teknologi Maklumat, dan mengikut prosedur sedia ada. Aliran prosedur adalah seperti berikut:

 

J/K Tatatertib

Staf USM

 

Majlis Teknologi Maklumat

·         Inkuiri

·         Keputusan tentang keistimewaan

·         Perakuan kepada  J/K  Tatatertib Satf USM atau Timbalan Naib Canselor HEP

 

Meja Aduan

Laporan /pengesanan pelanggaran dasar dan peraturan

 

Timbalan Naib Canselor HEP

 

Pihak Berwajib

·         Polis

 

 
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


2.6  Undang-undang negara

 

Semua pengguna adalah tertatkluk kepada undang-undang negara yang sedia ada, diantaranya:

 

·         Akta Jenayah Komputer 1997

 

·         Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

 

·         Akta Tandatangan Digital 1997

 

·         Akta Hak Cipta 1987

 

·         Akta Badan-Badan Berkanun (  Tatatertib dan Surcaj ) 2000

 

 

2.7  Kuasa Penggeledahan, Penyitaan dan Penangkapan

 

(2.7.1) Apabila Jawatankuasa Penguatkuasaan IT menerima maklumat dan selepas menjalankan siasatan ia mendapati ada sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa terdapat keterangan tentang pelanggaran Dasar Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Elektronik USM ( Dasar USM ) dalam mana-mana premis USM atau sebarang premis yang USM berhak ke atasnya, Jawatankuasa Penguatkuasaan IT boleh dengan kuasa yang diberikan oleh Naib Canselor USM, memasuki premis tersebut dan dengan kekerasan jika perlu. Jawatankuasa Penguatkuasaan IT berhak untuk menggelidah,menyita dan menahan apa-apa keterangan dan juga berhak untuk:

 

(a)  mendapat capaian kepada mana-mana atur cara atau data yang disimpan dalam mana-mana komputer, atau mendapat capaian kepada, memeriksa atau menyemak pengendalian, mana-mana komputer dan

apa-apa radas atau bahan yang berkaitan yang Jawatankuasa Penguatkuasaan IT mempunyai sebab yang munasabah untuk mengesyaki digunakan atau telah digunakan berkaitan dengan apa-apa kesalahan di bawah Dasar USM;

 

(b) menghendaki-

 

(i)       orang yang disyaki atau individu bagi pihak orang yang disyaki

(ii)     sesiapa yang bertanggungjawab ke atas pengendalian komputer,radas atau bahan tersebut  dan

 

c)   menghendaki apa-apa maklumat yang terkandung dalam suatu komputer dan boleh didapati dari premis itu dikeluarkan dalam suatu bentuk yang boleh dibawa pergi dan yang boleh dilihat dan dibaca.

(2.7.2) Untuk tujuan penggeledahan dan penyitaan, ketua jabatan atau pegawai yang bertanggungjawab terhadap premis tersebut, perlulah dimaklumkan terlebih dahulu sebelum penggeledahan dan penyitaan dilakukan. Ketua jabatan atau pegawai yang bertanggungjawab terhadap premis tersebut atau wakil beliau, dan orang-orang yang disyaki melakukan kesalahan mestilah ada bersama semasa penggeledahan dilakukan. Pengarah Jabatan Keselamatan USM atau wakilnya dari Jabatan Keselamatan USM perlulah ada bersama.

(2.7.3) Jawatankuasa Penguatkuasaan IT  boleh menjalankan penggeledahan dan penyitaan tanpa memaklumkan kepada Ketua Jabatan, pegawai yang bertanggungjawab terhadap premis USM tersebut atau orang-orang yang disyaki sekiranya ;

i)                            Jawatankuasa Penguatkuasaan IT mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa terdapat keterangan tentang pelanggaran Dasar USM di dalam premis tersebut

ii)                          Jawatankuasa Penguatkuasaan IT  ada alasan yang munasabah bahawa dengan sebab kelewatan proses memaklumkan Ketua Jabatan atau pegawai yang bertanggungjawab terhadap premis tersebut, atau orang-orang yang disyaki, tujuan penggeledahan itu mungkin gagal.

iii)                         kelulusan Naib Canselor diperolehi

Kehadiran Ketua Jabatan atau pegawai yang bertanggungjawab terhadap premis tersebut dan orang-orang yang disyaki tidak diperlukan untuk tujuan ini.

(2.7.4) Menghalang penggeledahan.

Seseorang adalah melakukan suatu kesalahan jika dia-

(a)     menyerang, menghalang, merintangi atau melengahkan mana-mana ahli Jawatankuasa Penguatkuasaan IT  masuk ke dalam mana-mana premis yang disyaki atau pada melaksanakan apa-apa tugas yang dipertanggungjawab; atau

(b) tidak mematuhi apa-apa permintaan sah daripada seseorang ahli Jawatankuasa Penguatkuasaan IT  yang bertindak pada melaksanakan tugasnya di bawah  Dasar USM ini.

 


Seksyen 3: Penggunaan yang dibenarkan

 

Hanya pengguna yang diberi kebenaran sahaja boleh mengguna kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Elektronik USM. Pengguna harus mematuhi dasar dan garis panduan penggunaan yang digariskan mengikut perkara berikut:

 

 

Garis Panduan Am Penggunaan Yang Dibenarkan

 

Penerangan secara umum tentang dasar dan peraturan penggunaan. Mana-mana sumber yang tidak tersenarai didalam dasar penggunaan terperinci adalah diliputi oleh dasar Garis Panduan Am Penggunaan.

 

Nombor Dokumen: DTMK-01-03-01.

 

Dasar  Penggunaan Aturcara / Perisian / Lain-lain Bahan Berbentuk Digital

 

Dasar ini menerangkan peranan dan tanggungjawab pengguna terhadap penggunaan sofwer sama ada yang dibangunkan sendiri oleh staf atau pelajar USM, atau yang diperolehi oleh staf, pelajar atau jabatan dan digunakan untuk atau bagi pihak USM.

 

Nombor Dokumen: DTMK-01-03-02.

 

Dasar Penggunaan Rangkaian dan Penyambungan

 

Sebarang penggunaan dan penyambungan rangkaian didalam kampus USM adalah tertakluk dibawah dasar ini. Rangkaian USM (USMNet) adalah merupakan sebahagian dari rangkaian data global. USM bertanggungjawab untuk mentadbir rangkaian dan penggunanya dengan sebaik mungkin bagi membendung daripada berlakunya penyalahgunaan rangkaian oleh pengguna.

 

Nombor Dokumen: DTMK-01-03-03.

 

Garis Panduan Penggunaan Makmal

 

Penerangan tentang peraturan umum penggunaan makmal-makmal komputer di USM, yang harus dijadikan panduan oleh pentadbir-pentadbir makmal. Satu perkara penting yang perlu dilakukan oleh pentadbir makmal ialah merekodkan setiap penggunaan didalam Buku Log. Buku ini merekodkan keterangan pengguna dan tempoh masa penggunaan.

 

Nombor Dokumen: DTMK-01-03-04.

 

Garis Panduan Penggunaan E-mel

 

Garis Panduan ini menyatakan perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh pengguna-pengguna e-mel di USM, bagi penggunaan e-mel yang beretika.

           

Nombor Dokumen: DTMK-01-03-05.

 

Dasar Penggunaan Komputer / Pencetak / Pengimbas / Lain-lain Alatan

 

Dasar ini menerangkan peranan dan tanggungjawab pengguna terhadap penggunaan hadwer sama ada yang dicipta / pasang sendiri oleh staf atau pelajar USM, atau yang diperolehi oleh staf, pelajar atau jabatan dan digunakan untuk atau bagi pihak USM.

 

Dasar Pemberian Komputer Mikro (PC) kepada staf USM juga dinyatakan disini.

 

Nombor Dokumen: DTMK-01-03-06.

 

Dasar Membangun Laman Web

 

Laman Web merupakan antara entiti terpenting didalam rangkaian data global. Dasar ini menerangkan tanggungjawab dan peranan pembangun laman web dan juga ketua jabatan, bagi membolehkan pengawasan dan penyelarasan laman web dilakukan dengan lebih sempurna.

 

Nombor Dokumen: DTMK-01-03-07.

 

Dasar Capaian Internet

 

Digariskan dasar penggunaan Internet termasuk capaian laman web, pemindahan data dan perbincangan melalui Internet. Dinyatakan secara jelas laman-laman web yang boleh dan tidak boleh dilayari.

 

Nombor Dokumen: DTMK-01-03-08.

 

Garis Panduan Penggunaan Komputer Pelayan

 

Semua komputer pelayan yang dibangunkan oleh staf atau pelajar USM untuk atau bagi pihak USM adalah termasuk didalam garis panduan ini. Antara yang dinyatakan adalah penggunaan alamat IP, sekuriti pelayan dan penggunaan, dan tanggungjawab pentadbir pelayan.

 

Nombor Dokumen: DTMK-01-03-09.

 

Garis Panduan Lain-lain Sumber

 

Lain-lain sumber yang termasuk didalam garis panduan ini adalah Permainan Komputer, Chatting dan Capaian Multimedia melalui Internet.

 

Nombor Dokumen: DTMK-01-03-10.

 

Borang-borang

 

Senarai borang-borang standard yang perlu diguna bagi tujuan aduan, permohonan penyediaan komputer pelayan, permohonan alamat e-mel staf dan pelajar, permohonan komputer mikro (PC) dan permohonan pemasangan rangkaian tambahan.

 

Nombor Dokumen: DTMK-01-03-LAMPIRAN.

 


Seksyen 4: Keselamatan dan Kerahsiaan

 

USM memandang serius perkara-perkara yang boleh menjejaskan keselamatan teknologi maklumat. Keselamatan teknologi maklumat merangkumi peralatan, infra-struktur dan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh USM. Pengguna harus mematuhi dasar-dasar keselamatan teknologi maklumat, seperti yang dinyatakan dibawah :

 

4.1 Dasar Capaian/Akses

 

Hanya pengguna yang sah, iaitu itu pengguna yang telah mendaftar dengan USM atau penyedia kemudahan dalam pusat pengajian masing-masing dibenarkan mencapai sumber-sumber teknologi maklumat yang disediakan.

 

Pengguna tidak dibenarkan memasang atau menyambung peralatan teknologi maklumat ke dalam rangkaian USMNET tanpa mendapat kebenaran dari Pusat Komputer. Pengguna juga tidak dibenarkan menyedia perisian-perisian sah atau tidak sah ke dalam peralatan teknologi maklumat milik  USM tanpa mendapat kebenaran dari Pusat Komputer.

 

Jika didapati pengguna melanggar dasar ini, maka tindakan yang bersesuaian seperti yang dinyatakan dalam seksyen 2.5 akan diambil. Sila rujuk dokumen DTMK-01-04-01 “Garis Panduan Capaian Teknologi Maklumat” untuk maklumat lanjut.

 

4.2 Dasar Akauntabiliti

 

USM bertanggungjawab untuk menyedia, menjaga dan memelihara kemudahan-kemudahan teknologi maklumat yang terdapat di USM. USM juga akan memastikan segala sumber-sumber teknologi maklumat dibawah selengaraanya dikonfigurasi dengan betul supaya selamat digunakan.

 

Pengguna bertanggungjawab ke atas kehilangan, kerosakkan, perubahan - data atau maklumat dalam simpanan pengguna, jika perkara-perkara ini berlaku disebabkan oleh kecuaian pengguna kerana tidak mematuhi ciri-ciri keselamatan teknologi maklumat seperti yang disarankan oleh USM.

 

Pengguna bertanggungjawab ke atas kerosakkan, kerugian, kehilangan atau gangguan perkhidmatan ke atas sistem-sistem lain samada sistem-sistem tersebut di dalam atau di luar USM, walaupun perkara-perkara tersebut berpunca daripada mesin atau perkhidmatan yang disediakan oleh USM, dan digunakan oleh pengguna yang boleh menimbulkan perkara-perkara ini berlaku.

 

Sila rujuk dokumen DTMK-01-04-02 "Garis Panduan Akauntabiliti" untuk maklumat lanjut.

 

4.3 Dasar Kerahsiaan

 

Data serta maklumat yang disimpan dalam sumber-sumber teknologi maklumat di USM perlu

dilindungi dari terdedah, rosak, diubah, dibaca oleh pengguna-pengguna yang tidak mempunyai kebenaran untuk mencapainya. USM melalui dasar pengesahan, akan memastikan data dan maklumat tersebut dilindungi dengan selamat. USM juga melalui dasar penjagaan dan pemeliharaan akan memastikan data serta maklumat diduplikasikan kestoran pendua dari semasa ke semasa untuk mengelakkan data serta maklumat rosak atau hilang. Oleh itu adalah melanggar dasar keselamatan IT jika pengguna dengan sengaja cuba mencapai data atau maklumat pengguna lain, atau data serta maklumat sensitif seperti fail kata laluan, dan sebagainya.

 

Sila rujuk dokumen DTMK-01-04-03 “Dasar Kerahsiaan” dan dokumen DTMK-01-04-04 “Garis Panduan Pemeliharaan dan Perlindungan Maklumat IT”.

 

4.4 Dasar Pengesahan Capaian

 

Capaian ke atas pelayan atau perkhidmatan-perkhidmatan tertentu memerlukan pengesahan. Releven kepada dasar capaian di atas, hanya pengguna yang sah dan dibenarkan mencapai sumber-sumber teknologi maklumat tertentu sahaja diberi kebenaran menggunakannya. Oleh itu pengguna tidak dibenarkan memberi atau mendedah dengan sengaja id pengenalan diri dan kata laluan kepada individu lain.

 

Pengguna juga tidak dibenarkan mencuri data-data sensitif seperti kata laluan yang boleh membenarkan beliau mencapai sumber-sumber teknologi maklumat di atas identiti orang lain.

 

Sila rujuk dokumen DTMK-01-04-05 “Garis Panduan Pengesahan Capaian Teknologi Maklumat” untuk maklumat lanjut.

 

4.5 Dasar Penjagaan Sistem dan Rangkaian

 

USM dari semasa ke semasa akan membuat penjagaan sistem dan rangkaian untuk memastikan sumber-sumber teknologi maklumat berada pada tahap yang memuaskan. Dasar ini menyatakan dengan jelas skop individu yang melakukan tugas penjagaan dan baikpulih, samada staf operasi dalaman ataupun kontraktor atau perunding luar. Dasar ini juga meliputi penjagaan dan pemuliharaan dari jarak jauh.

 

Pengguna tidak sama sekali dibenarkan melakukan kerja-kerja penjagaan dan pemeliharaan ke atas sumber-sumber teknologi maklumat milik USM.

 

Sila rujuk dokumen DTMK-01-04-08 “Dasar Penjagaan Sistem dan Rangkaian” untuk maklumat lanjut.

 

 

4.6 Dokumen-dokumen Sokongan lain

 

Dokumen-dokumen sampingan seperti garis panduan keselamatan teknologi maklumat yang difokuskan khas kepada pengguna mengenai isu-isu semasa sekuriti dan cara-cara menangani atau menghindar keselamatan IT. Sila rujuk dokumen DTMK-01-04-06 “Garis Panduan Keselamatan IT – Pengguna”. Informasi lain termasuk maklumat staf operasi yang boleh dihubungi apabila berlakunya perlanggaran dasar-dasar yang dinyatakan di atas, garis panduan melayan atau menjawab pertanyaan, rungutan atau komplain dari pengguna atau pihak luar.