Program Motivasi MPDR-KMPP
Sesungguhnya Desasiswa Restu merupakan desasiswa tumpuan umum dan ianya bukan sahaja menjadi tumpuan dalam kalangan warga kampus, malah turut mencuri perhatian pihak luar. Buktinya, pada 13 hingga 15 Februari 2009 yang lalu, para pelajar daripada Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) telah sudi mempelawa kami untuk mengadakan Bengkel Motivasi & Kepimpinan di Kampus Induk. Program yang memakan masa selama 3 hari ini padat diisi dengan pelbagai aktiviti berfaedah dan bermanfaat untuk menjadi bekalan adik-adik KMPP pada masa hadapan. Program Adik Angkat turut dilaksanakan untuk mengeratkan lagi silaturrahim dalam kalangan kami.
Walaupun pada waktu siangnya para peserta penat menjalankan aktiviti amal di Rumah Orang Tua di sekitar Pulau Pinang, kehadiran mereka disambut dengan senyuman manis daripada abang dan kakak fasilitator tepat jam 9.30 malam. Sejurus selepas sesi pendaftaran dan 'check-in' selesai, kami meneruskan lagi dengan sesi berkenalan dan penyerahan adik angkat. Walaupun baru beberapa jam bertemu, namun keserasian dan keramahan antara kami bagai tiada batasnya. Selepas tamatnya sesi ini, Ketua Fasilitator, saudara Khairul Anwar terus mengambil alih dengan memulakan sesi 'Wayang'. Pada ketika ini, jelas terpancar wajah kegembiraan kerana teruja menjalankan sesi ini.
Pada keesokan paginya pula, adik-adik KMPP telah digerakkan seawal pagi untuk memulakan aktiviti riadah. Sejurus selepas itu, giliran Saudara Syafiq Abd Aziz mengambil alih slot ceramah tentang 'kerjaya di masa hadapan'. Ketokohan Yang Dipertua MPP USM dalam memberikan ceramah diakui apabila slot kendalian beliau mendapat sambutan. Sebelah petangnya pula, Saudara Zuaril Hakimi meneruskan slot ceramah tentang 'hala tuju hidup'. Walaupun keletihan, namun adik-adik KMPP tetap menunjukkan minat terhadap apa yang diperkatakan oleh mantan YDP MPP itu. Sesi petang tidak dibiarkan kosong begitu sahaja. Apa gunanya sampai di USM tanpa menjejaki segala ceruk kampus. Oleh itu, kami telah mengadakan pertandingan 'eksplorace' di sekitar kampus induk. Ternyata ianya mendapat maklum balas positif daripada mereka yang rata-rata memuji keindahan, kehijauan dan kelestarian kampus induk. Pada sebelah malamnya pula, jiwa mereka diisi dengan santapan rohani. Dengan kendalian saudara Sawaluddin dan dibantu oleh abang dan kakak fasilitator berjaya menyedarkan adik-adik KMPP tentang betapa lalainya kita hidup di dunia ini. Sesi tangisan syahdu berjaya meruntuhkan ego mereka yang rata-rata berjiwa remaja.Alhamdulillah, semoga adik-adik semua jangan cepat putus asa.
Hari terakhir bersama tidak dibazirkan begitu sahaja. Memandangkan mereka akan bertolak pulang pada pukul 11 pagi, kami memanfaatkan masa yang ada dengan meniupkan kata-kata semangat dan perangsang supaya menjadi seorang pelajar yang berjaya dan anak yang berguna dunia dan akhirat. Akhir sekali setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Walaupn berat untuk melepaskan mereka pergi, namun tali silaturrahim yang telah terjalin tetap akan diteruskan. Saudara Khairul begitu berbangga kerana program ini dapat berjalan dengan jayanya tanpa sebarang masalah meskipun pihak desasiswa sedang sibuk membantu pasukan debat Restu dalam menghadapi saingan pertandingan. Semoga kita berjumpa lagi wahai adik-adikku..Dengarlah dan ingatilah nasihat daripada kami..Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kalian.