Setelah selesai sidang 2007/08, maka tamatlah tugas exco-exco Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) yang terdahulu di bawah pimpinan saudara Mohd Khairul Anwar atau lebih mesra dengan pangilan Mamu dalam kalangan exco. Pelbagai memori suka dan duka sepanjang beliau memimpin MPDR. Rata-rata exco sidang 2007/08 merupakan pelajar tahun satu daripada pelbagai bidang. Pengalaman sepanjang sidang 2007/08 amat bermakna untuk diaplikasikan sepanjang kehidupan dalam karier yang akan datang. Sebelum exco sidang 2007/08 dibubarkan, terdapat satu majlis ringkas iaitu 'post moterm' keseluruhan MPDR 2007/08 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Restu pada 28 Julai 2008. Pelbagai masalah telah diluahkan dan tidak kurang juga ada yang menyatakan mereka 'enjoy' mengikuti sidang 2007/08 bersama MPDR.
Setelah segala masalah dan juga kejayaan diluahkan semasa majlis tersebut, tidak kurang juga ada yang menitiskan air mata kerana terharu dengan kejayaan dan juga pengalaman yang berharga semasa bergelar exco. Perkara-perkara berbangkit semasa majlis itu berlangsung tidak dapat kami dipihak Pena Restu menceritakannya kerana ia adalah majlis tertutup. Walau bagaimanapun, majlis yang bertujuan untuk membaiki masalah yang berlaku semasa sidang 2007/08 untuk digunakan semasa sidang ini berjalan dengan lancar dan objektifnya tercapai. Pengerusi majlis yang merangkumi YDP MPDR sidang 2007/08, turut memberikan riak wajah yang sedih untuk melepaskan MPDR di bawah pimpinan beliau. Beliau sempat lagi berjenaka dan mengharapkan exco-exco yang lama @ tua ini menyertai MPDR lagi untuk sidang 2008/09 bagi menyegarkan kembali MPDR 2008/09
Setelah tirai MPDR 2007/08 dilabuhkan, MPDR 2008/09 muncul dengan gaya yang tersendiri. Nyata pada sidang ini memberikan sedikit kelainan pada bahagian majlis tertingginya (MT) kerana terdapat tambahan 2 jawatan MT yang baru iaitu ketua Blok lelaki dan wanita. YDP pada sidang ini yang juga dianggap otai dalam MPDR merupakan seorang pelajar Ijazah pertama di pusat pengajian Sains Kemasyarakatan. Beliau yang dimaksudkan ialah Saudara Rosdi bin Osman.
Sebelum berlakunya pelantikan exco yang baru bagi sidang 2008/09, barisan MT agak sukar untuk memilih exco yang baru kerana tidak sangka permohonan untuk menjadi exco pada sidang ini terlalu ramai itu lebih daripada 150 orang. Temu duga yang dijalankan selama 2 hari itu turut berlaku sedikit kekecohan kerana borang permohonan sudah habis dan temu duga terpaksa ditangguhkan pada keesokan harinya. Walau bagaimanapun, pemilihan yang telus untuk mengisi jawatan 35 exco tetap dijalankan dengan sempurna. Akhirnya, pada 26 Ogos 2008, bertempat di depan pejabat Desasiswa Restu berlangsungnya acara pelantikan exco sidang 2008/09 yang disempurnakan oleh penggawa desasiswa Restu, Dr Rahimah. Turut hadir pada majlis tersebut ialah penolong-penolong penggawa serta felo desasiswa Restu. Exco-exco restu yang baru juga turut menanda tangani surat akur janji terhadap tugas MPDR. Setelah selesainya majlis tersebut, maka bermulalah tugas exco MPDR sidang 2008/09 secara rasmi.
oooooOoooo
Pembubaran & Perlantikan MPDR 2007/08